Posted by: tasbih | July 13, 2007

BAB 1: POLITIK ISLAM YANG SEBENARNYA

Apakah yang dimaksudkan dengan selamat? Yakni politik yang selamat. Iaitu ilmu dan usaha merancang, melaksana, mengurus, menjaga dan menyuburkan segala bentuk pembangunan tamadun insan dan tamadun material seperti yang diperintah dan dibenarkan oleh Tuhan.

Oleh kerana Islam itu ertinya menyelamatkan dan sistem hidup Islam adalah syumul (complete), maka ilmu pentadbiran sebenar yang menyelamatkan itu pun mencakupi seluruh aspek kehidupan insaniah dan material manusia. Di antara aspek-aspek itu ialah kepimpinan, pendidikan, ekonomi, sosial, pertanian, penternakan, motivasi, kesihatan, perhubungan, penerangan, kebajikan, ketenteraan, kehakiman dan lain-lain lagi. Bilamana seluruh bidang kehidupan telah dirancang, dilaksana, diurus, ditadbir, dijaga dan disuburkan menepati kehendak ajaran Tuhan sama ada tentang insan atau materialnya, maka itulah yang dikatakan sistem politik yang sebenar dan yang selamat lagi menyelamatkan.

Orang-orang yang terlibat di dalamnya sama ada dari kalangan pemerintah yakni perancang polisi pembangunan atau dari kalangan pegawai-pegawai pelaksana polisi hingga ke peringkat bawahan, semuanya dipanggil ahli (orang) politik Islam yang sebenar.

Tegasnya, orang politik terbahagi dua iaitu:

1. Pembuat polisi
2. Pelaksana polisi

Bezanya sistem politik sebenar dari lain-lain sistem politik sekular sama ada dalam rumah tangga, jemaah, negeri, negara atau sejagat ialah politik sebenar mesti dijalankan dengan menempuh lima syarat. Dengan kata lain, ilmu teori politik bila hendak dilaksanakan dalam bentuk amaliah, hendaklah ditathbiqkan atau diselaraskan dengan hukum Tuhan. Supaya ilmiah dan amaliah itu benar-benar selaras dan menjadi ibadah. Ia juga mestilah untuk orang Islam dan untuk semua kaum, agama dan bangsa mengikut sistem yang sesuai dengan fitrah semula jadi manusia. Tanpa menepati atau memenuhi lima syarat ini, walau sehebat mana pun pembangunan yang dicetuskan, namun ia tidak jadi ibadah bagi orang Islam, bahkan tertolak di sisi Tuhan. Jika tidak jadi ibadah, tidak dapat pahala. Ia dianggap habuk-habuk yang berterbangan sahaja. Maknanya, ia bukan lagi politik yang sebenar. Mengusahakannya tidak lagi dianggap jalan Tuhan dan ia bercanggah dengan fitrah manusia. Kalau bercanggah dengan fitrah manusia maka manusia menolaknya.

Lima syarat itu ialah:
1. Niat kerana Tuhan.
2. Perlaksanaan sah mengikut jalan Tuhan.
3. Subjek atau perkara itu dibenarkan oleh sistem Tuhan.
4. Natijahnya digunakan menepati kehendak Tuhan.
5. Tanpa meninggalkan perkara-perkara asas dalam Islam.

Sebagai contoh, mari kita lihat bagaimana politik sebenar yang berlaku dalam rumah tangga boleh menjadi ibadah bagi orang Islam. Untuk membangunkan sistem rumah tangga Islam, supaya semua ahli keluarga mendapat pahala dan memperolehi darjat soleh dan solehah, maka:

1. Semua ahli mestilah berniat untuk membina rumah tangga Islam yang menyelamatkan kerana Tuhan. Tuhan yang menghalalkan pernikahan, menggalakkan perkahwinan dan menyukai anak-anak yang ramai. Kalau begitu, buatlah semua ini kerana Tuhan.

2. Segala perkara yang hendak dibuat dalam rumah oleh setiap ahli keluarga mestilah perkara-perkara yang halal, yang sah dan baik yang dibolehkan oleh Tuhan. Bukan perkara haram, makruh dan mungkar. Barang-barang dan peralatan dalam rumah mestilah bukan barang curi, hasil tipu atau rasuah. Dengan kata lain, buatlah hal-hal yang Tuhan suka dan tinggalkan perkara yang Tuhan tidak suka. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah ke sebesar-besar perkara. Contohnya, menjaga kasih sayang, menjalankan pendidikan yang harmoni, menjalankan ekonomi yang tidak ada penipuan, monopoli dan riba. Tidak ada unsur rasuah dan penindasan di dalam pentadbiran kerana perkara-perkara negatif di atas boleh menghilangkan kasih sayang.

3. Perkara-perkara itu pula, hendaklah dilaksanakan dengan mengikut peraturan dan disiplin yang disukai Tuhan, yakni menurut disiplin Tuhan. Disiplin Tuhan termasuklah bertolak ansur, berlebih kurang, jangan singgung-menyinggung satu sarna lain, maaf-bermaafan, bekerjasama, berbaik sangka dan lain-lain lagi.

4. Bilamana sudah dikerjakan perkara-perkara yang baik dengan cara yang baik, maka natijah atau hasilnya juga mesti baik. Contohnya, rumah itu dapat dijadikan tempat menerima tetamu, bukan tempat bermegah-megah dan dalam menegakkan rumah itu tidak menyusahkan jiran. Sebab itu kalau kita hendak menegakkan rumah, kena berunding dahulu dengan jiran. Takut-takut dia tidak senang hati. Takut-takut rumah kita itu akan mengganggunya dalam beberapa hal. Itukan menyusahkan kita juga. Ia akan menggugat keselamatan kita. Ahli-ahli keluarga pula sesudah dapat melakukan segala perkara-perkara baik dalam rumah tangga, mereka hendaklah perjuangkan pula supaya orang lain pun dapat membangunkan kebaikan seperti mereka. Tidak bolehlah menghina-hina orang lain atau bakhil dengan manusia.

5. Dalam sibuk mengusahakan perkara-perkara yang menyelamatkan dalam rumah tangga, jangan sampai terlupa sembahyang dan mendalami segala Rukun Iman dan Rukun Islam yang fardhu dan asas bagi orang Islam. Kalau ini diabaikan, semua kebaikan lain tertolak jua. Berdasarkan contoh ini, kiaskanlah ianya kepada bidang- bidang lain dalam kehidupan seperti hal-hal pemerintahan, pendidikan, ekonomi, kesihatan dan sebagainya. Apabila setiap sesuatu bidang hidup itu dirancang, dilaksana, diurus dan disuburkan dengan menepati dan mengikut disiplin Tuhan, ia sesuai dengan fitrah semula jadi semua manusia. Oleh yang demikian, perasaan manusia semua akan senang. Maka berlakulah sudah politik sebenar dalam hidup manusia sama ada di rumah, jemaah, negeri atau negara. Itu namanya ibadah dalam lingkungan ibadah umum. Bagi orang Islam, keadaan politik sebenar itu penuh kasih sayang dan harmoni. Kasih sayang dan harmoni ini sesuai dengan kehendak semua kaum, bangsa dan agama.

Dalam muqaddimah buku ini sudah dinyatakan bahawa politik itu boleh berlaku dalam banyak peringkat. Bukan dalam parti politik dan tidak dalam soal negara sahaja.
Peringkat-peringkat itu ialah:
1. Politik rumah tangga
2. Politik jemaah
3. Politik negeri
4. Politik negara
5. Politik ummah (sejagat)

Berbezanya politik atau pentadbiran dalam peringkat-peringkat ini adalah berpunca dari berbezanya kesyumulan Islam dalam tiap-tiap peringkat itu. Maka bidang yang hendak ditadbir pun tidak sama. Oleh kerana perkara-perkara yang ditegakkan dalam rumah jauh berbeza dengan apa yang ada di peringkat jemaah, maka terjadilah ruang lingkup politik yang berbeza antara keduanya. Begitu juga ruang lingkup politik bagi peringkat jemaah berbeza dengan ruang lingkup politik bagi peringkat negara. Misalnya, disebabkan sesebuah jemaah itu tidak dibenarkan mengadakan sistem ketenteraan dan kehakiman, maka politik di bidang itu tidak berlaku dalam jemaah tetapi ia terdapat dalam politik negara.

Untuk tujuan itu, beliau boleh melantik satu team kepimpinan yang layak dan bertanggungjawab. Islam juga memberi kuasa kepada khalifah untuk menetapkan kedudukan atau jawatan pemimpin-pemimpin bawahannya, mengekalkan dan boleh pula menarik balik jawatan itu bilamana si polan itu sudah melanggar syarat-syarat disiplin Tuhan atau kepimpinannya lemah ataupun atas dasar strategi. Di dalam politik sebenar atau politik Islam, rakyat serta pemimpin bawahan wajib taat kepada khalifah serta pemimpin yang dilantik selama mana mereka itu benar-benar menjalankan kerja-kerja menegakkan hukum Tuhan. Perintah taat ini cukup jelas dalam firman Tuhan:

Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan Rasul serta pemimpin di kalangan kami. ” (An Nisa: 59

Yakni selagi mereka itu menjalankan tugas yang sesuai dengan kehendak-kehendak Allah dan Rasul. Tetapi di kala mereka melanggar perintah Allah dan Rasul, mereka tidak wajib lagi ditaati.
Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tiada ketaatan kepada makhluk dalam kederhakaan pada Allah.” (Riwayat Ahmad dan Hakim)

Demikianlah garis-garis disiplin Tuhan dalam soal politik sebenar yang menyelamatkan ini. Semuanya bermaksud untuk memberi faedah kepada manusia tidak kira Islam atau bukan Islam. Yakni supaya dunia menjadi syurga sementara (jannatul ‘ajilah) sebelum manusia berangkat ke kediaman Syurga Akhirat yang kekal abadi. Hasil perlaksanaan politik sebenar yang menyelamatkan tadi, lahirlah negara yang Tuhan mahukan:

Maksudnya: “Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan.” (Saba: 15)

Model negara yang indah ini pernah wujud beberapa kali dalam sejarah. Dan ia akan berulang sekali lagi di akhir zaman ini, insya-Allah.

Negara-negara yang ada di dunia hari ini dikendalikan oleh politik yang tidak benar atau yang tidak menyelamatkan. Oleh itu ia tidak layak mendapat keampunan Tuhan, bahkan keamanan pun tidak wujud. Kemakmuran jauh sekali. Kalau ada kemakmuran pun, hanya untuk dirasai oleh beberapa orang tertentu sahaja.

Demikian juga halnya dalam jemaah orang Islam yang mengaku melaksanakan politik Islam, bahkan juga dalam kebanyakan rumah tangga orang Islam, tidak wujud perkara-perkara yang melayakkan mereka mendapat keampunan Allah.

Umat Islam tidak melaksanakan politik Islam atau politik sebenar sebagaimana sepatutnya. Mereka tidak membangunkan sistem Islam sebagai cara hidup. Kalau pun ada projek-projek kehidupan yang dibangunkan namun ia tidak mengikut syarat-syarat Islam. Oleh itu ia tidak menjadi ibadah dan tidak mendatangkan pahala di sisi Tuhan. Bagi umat Islam tolong ambil perhatian bahawa Islam itu mesti sesuai dengan ilmunya dan perlaksanaannya mesti ditunjang oleh iman.

Selama ini Islam terasa indah pada teorinya sahaja tetapi tidak dalam praktiknya. Sekian lama umat Islam melaungkan “Islam is the way of life”, tetapi syiar Islam tidak muncul-muncul juga di tengah kehidupan masyarakat. Politik Islam yang diperjuangkan cuma dalam bentuk kempen, slogan, propaganda dan dakyah. Ia hanya digunakan dalam kempen pilihan raya dan dalam pertandingan mere but jawatan pemerintahan. Selepas itu perjuangan seolah-olah sudah selesai. Tidak ada pengisian dan pentadbiran “ke dalam”. Sebab itu sistem sekular terus berjalan walaupun ianya sudah cukup tua dan cukup menyeksa serta menyakitkan kita. Hakikatnya bukan politik Islam atau politik sebenar yang diperjuangkan, sebaliknya politik yang bercanggah dengan Islam tetapi diberi nama Islam. Itu satu penipuan sama ada kita sedar atau tidak sedar. Sebab itu politik orang Islam hari ini menyakitkan banyak pihak, sama ada orang Islam mahupun orang bukan Islam.

Saya berlindung dengan Tuhan dari sikap mengata tidak mengota yang sangat dimurkai Tuhan. Dan saya minta berlindung dari sikap suka mengkritik tetapi tidak mempraktik. Sesungguhnya, apa yang diusahakan di dalam syarikat Rufaqa’ ialah harapan untuk merealisasikan politik Islam. Alhamdulillah, dengan izin Tuhan jua, nampaknya ia kini menjadi kenyataan walaupun baru di peringkat asas. Pada semua kakitangannya, ia menjadi gelanggang untuk berpolitik secara Islam. Sementara bagi para peminat yang beragama Islam dan yang bukan Islam ia dianggap alternatif pada kegagalan politik sekular. Namun ada juga yang tidak senang nampaknya. Moga-moga jadilah syarikat Rufaqa’ satu-satunya badan korporat yang mirip sebagai jemaah Islam yang melaksanakan politik Islam yang selamat dan menyelamatkan kerana ia membawa kasih sayang.


Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: