Posted by: tasbih | July 13, 2007

POLITIK ISLAM MEMBAWA KASIH SAYANG

Hari ini umat Islam menganggap apa yang dikatakan politik itu ialah politik Barat. Ini kerana rujukan mereka pada definasi poltik ialah kepada Barat. Mereka tidak lagi merujuk perkara penting ini kep ada Islam, yakni Al Quran dan Sunnah. Bahkan di kalangan alim ulama dan pejuang-pejuang Islam pun, politik yang mereka faham adalah politik Barat atau sistem politik berpilihan raya.

Bila kita tanya kepada kebanyakkan tokoh politik Islam, mengapa mereka turut serta dalam politik kotor Barat itu, biasanya mereka menjawab, “Tiada pilihan lain.” Ya, seolah-olah secara tidak langsung mereka menganggap Islam tidak mempunyai jalan sendiri dalam soal politik. Seolah-olah Islam tidak sempurna, ia kekurangan cara untuk berpolitik walaupun rata-rata mereka mengaku Islam itu syumul. Rasulullah telah menunjukkan jalan tersebut. Bukankah Rasul lahir di zaman politik jahililah menguasai dunia? Namun baginda tidak pun menyertainya. Tanpa membuat alasan konon tiada pilihan lain, baginda berjuang menampilkan politik Islam, lalu membunuh politik karut itu.

Hari ini Umat Islam mengamalkan politik yang tidak Islamik. Pada mereka itulah politik. Politik tidak Islamik digunakan untuk menegakkan negara Islam. Mereka menghalalkan cara. Mana-mana jemaah atau badan Islam yang tidak terlibat dalam politik Barat yang kotor itu dicap tidak berpolitik. Lalu bertungkus-lumuslah mereka berjuang atas platform yang tidak Islamik itu, yakni politik Barat.

Mereka berjuang secara piliharaya dengan mendaftarkan diri dan kumpulan sebagai parti politik. Untuk memilih pemimpin-pemimpin yang dinamakan wakil-wakil rakyat, mereka menempuh sistem pengundian dan pemilihan dalam tempoh beberapa tahun sekali. Semua lapisan rakyat tanpa kecuali dilibatkan dalam pemilihan pemimpin atau pemerintah. Parti yang calonnya paling ramai memenangi kerusi parlimen, maka parti itulah yang berhak menubuhkan kerajaan. Tanpa mengira lagi cara-cara yang digunakan dalam proses kemenangan yang dicapai sama ada baik atau tidak. Tanpa mengambil kira peribadi-peribadi calon itu sama ada boleh memimpin atau tidak, orang baik atau orang jahat. Tanpa mengenal pasti kemungkinan adanya musuh menyamar.

Dengan tertubuhnya kerajaan, maka dilantiklah jemaah kabinet, senator, anggota dewan senat, pengerusi-pengerusi untuk institusi-institusi penting dalam kerajaan dan melantik duta-duta ke luar negara untuk perhubungan antarabangsa.

Lalu perlembagaan dan undang-undang negara akan menjadi dasar pemerintahan kerajaaan pilihanraya ini dibuat sendiri oleh mereka itu. Kalaupun ada kitab rujukan, tentunya daripada Barat yang mengasaskan politik sekular ini. Sama sekali mereka tidak merujuk kepada Allah dan Rasul, yakni Al Quran dan Sunnah.

Untuk membuktikan kebenaran undang-undang yang dibuat, ianya dibentangkan di parlimen. Kemudian dibahaskan dan diundi. Bilamana dipersetujui oleh majoriti, kerana memang bilangan mereka majoriti, maka akhirnya undang-undang itu disahkan. Kalau ada suara-suara membangkang dari parti pembangkang yang menyuarakan ketidaksetujuan terhadap mana-mana undang-undang, tetap tertolak kerana tidak mendapat sokongan majoriti.

Demikianlah politik yang di puja oleh umat Islam hari ini. Juga oleh pejuang-pejuang Islam dan ulama-ulama. Politik yang menghalalkan cara demi untuk mendapatkan kemenangan dalam perebutan jawatan. Bukan mereka tidak tahu bahawa cara-cara itu semuanya bertentangan dengan Islam, membeli undi, mengupah “gedebe-gedebe” untuk mengungut mana-mana pengundi yang dijangkan tidak mengundi partinya, menuduh, memfitnah, melarikan peti undi, berbohong, menghina dan sebagainya, yang digunakan oleh calon pemimpin itu, semuanya perkara-perkara haram yang dimurkai oleh Allah. Tetapi mereka halalkan semua itu dengan alasan tiada cara lain. Katanya lagi, nanti bila menang semua itu diharamkan semula.

Begitulah mereka bermain-main dengan Allah SWT demi mencapai kepentingan diri, bukan kepentingan agama Allah. Mereka mengambil sebahagian hukum Allah dan menolak sebahagian yang lain. Mereka melupakan ingatan Allah Taala:

Maksudnya : “Apakah kamu mengambil sebahagianisi kitab dan menolak sebahagian yang lain ? Tiadalah balasan bagi mereka yang berbuat demikian melainkan ditimpakan kehinaan di dunia. manakala di hari Kiamat dicampakkan ke dalam azab yang pedih. Allah tidak lalai terhadap apa yang kamu lakukan.” (Al Baqarah:85)

Orang-orang Islam yang berpolitik cara Barat ini menempuh jalan yang begitu kotor dan silap. Politik kotor digunakan untuk mendapatkan negara Islam, negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah. Mungkinkah tercapai ? Sedangkan kita semua maklum bahawa kebaikan itu hanya akan didapati dengan cara baik, melalui jalan-jalan yang baik.

Air kalau di hulu sudah keruh, tentunya hilirnya juga keruh. Andaian mereka ialah sekiranya tidak menempuh laluan itu, bagaimana boleh dapatkan negara Islam ? Mereka sebenarnya sengaja tidak mahu mempelajari sejarah bagaimana Rasulullah dan Khulafaur Rasyidin menegakkan negara Islam.

Lalu dengan sikap-sikap aneh itu, mereka bermusuh dengan jemaah-jemaah Islam yang memulaukan politik Barat yang kotor itu. Konon kerana kelompok itu menafikan satu aspek penting dalam ajaran Islam yakni politik. Mereka seperti tidak tahu bahawa politik Islam itu mempunyai pengertian yang amat berbeza dengan apa yang mereka laksanakan. Mereka hakikatnya tidak berpolitik kerana mengamalkan sesuatu (politik) yang bertentangan dengan Islam.

Ibadah mesti menempuh lima syarat. Kalau satu saja dari syarat-syarat itu tidak dipenuhi, amalan itu tidak akan mendapat pahala ibadah. Politik yang mengikut idea-idea syaitan dan fikiran orang kafir itu sebenarnya tidak diterima di sisi Allah. Lalu hakikatnya perjuangan itu tertolak di sisi Allah. Bahkan diejek-ejek oleh manusia dan dipersoal oleh manusia.

Politik Islam samada yang tersirat atau tersurat, zahiriah atau maknawiah, qat’i atau ijtihad, semuanya ada di dalam Al Quran dan Hadis. Untuk memulakan politik Islam, kita tidak perlu lagi merujuk walaupun seinci pun kepada mana-mana agama atau ideologi. Segala-galanya tersusun indah dan terpampang dalam sejarah. Politik itu walaupun telah pernah punah dilanyak oleh politik Barat, kerana kesalahan umat Islam sendiri, namun Insya-Allah ia mampu bangun semula. Ia akan sekali lagi menguasi dunia bersama kebangkitan Islam kali kedua yang sedang hebat melanda dunia kini.

Saya sebenarnya sudah lama menyimpan keyakinan perihal adanya definasi dan kaedah politik Islam yang tersendiri dan amat berbeza dengan politik sekular itu. Namun baru kini saya mahu melahirkan keyakinan itu dalam buku yang dinamakan “Politik Islam Membawa Kasih Sayang” ini. Yakni sesudah saya cuba membuktikan keyakinan itu dalam sikap dan realiti hidup. Pengalaman membangunkan jemaah Darul Arqam, kemudian bersambung lagi dalam Syarikat Rufaqa Corporation Sdn Bhd ini, selama 40 tahun sudah cukup untuk memberanikan saya membentang tentang politk Islam seperti yang saya yakini ini kepada masyarakat. Moga-moga ianya bermanafaat dan membantu mempercepatkan proses kebangkitan Islam akhir zaman ini.

Usaha kecil ini ya Allah, moga-moga menjadi ibadah hamba pada-Mu. Ampunkan segala kesilapan dan keterlanjuran. Pahalanya, jika ada ya Allah, sampaikanlah kepada Rasulullah SAW, Syeikh Tareqatku, Muhammad bin Abdullah As Suhaimi, guru-guruku, kedua ibu-bapaku dan mereka yang pernah berjasa kepadaku. Faedah dari buku ini moga-moga diperolehi oleh seluruh saudaraku kaum muslimin dan muslimat yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia. Amin ya Allah ya Rabbal’Alamin.

Hamba yang lemah dan berdosa,



ASHAARI MUHAMMAD


Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: