Posted by: tasbih | July 13, 2007

SAJAK : Pemimpin Yang Baik Hanya Seratus Tahun Sekali

Apalah indahnya seorang pemimpin
ketaatan pengikutnya pura-pura
Di hadapannya buat-buat mengangguk
di belakangnya mengutuk
Di hadapan nampak hormat, di belakang melaknat
Apalah ertinya jadi pemimpin
pengikut-pengikutnya bukan mengikut dari hati
Tapi mengikut ada kepentingan peribadi
Apalah erti jadi pemimpin
pengikut-pengikut bukan mengikut
atas dasar prinsip
Bukan atas dasar cita-cita perjuangan
seperti atas dasar agama
atau bangsa dan negara
Tapi ada cita-cita tersendiri,
ia sengaja disembunyi
Apalah ertinya jadi pemimpin
pengikut-pengikut mengikut
selama mana ada untung peribadi
Apabila keuntungan sudah tiada lagi mereka lari
Di hadapan nampak setia, di belakang mencerca
Apalah erti jadi pemimpin
di waktu masih memimpin,
pengikut nampaknya macam taat
macam menghormati
Setelah tidak menjadi pemimpin pengikut habis lari
Dia dilupakan orang, mati baru diberitakan
Pemimpin yang baik
di waktu ada jawatan atau sudah berhenti
dia tetap dihormati
Pemimpin yang baik itu
dia disayangi sampai mati
Kematiannya disedihi
sakitnya diberi simpati, pengikut susah hati
Pemimpin yang baik itu kerana cintanya pengikut
di hadapan rasa bahagia
berpisah rasa terseksa
Di waktu di hadapan rasa senang, tenang
apabila berpisah rasa rindu
Apabila berada bersama pemimpin
rasa tidak mahu hendak berpisah
apabila berpisah hati gelisah
Pemimpin yang baik itu
pengikut berada bersamanya
pengikut terasa kuat, terasa mendapat sesuatu
Apabila berpisah terasa hati kosong
ingin lagi bertemu
Bertemu tidak jemu, berpisah bertambah rindu
Sedihnya pemimpin hatinya terganggu
Pemimpin yang baik itu
dia dirasakan oleh pengikut
dia adalah ibu ayahnya, pemimpinnya
gurunya, kawan setianya
Bertemu pemimpin terasa tenang, lapang
dapat ilmu dan panduan
Manalah ada pemimpin yang semacam ini
di akhir zaman ini
Ia hanya berlaku 100 tahun sekali
Moga-moga kita dapat bertemu
pemimpin seperti yang digambarkan itu
Kita sedang berada di awal kurun moga-moga di kurun ini

• Selepas Zuhur 04 – 02 – 2004


Categories

%d bloggers like this: